Sekolah Menengah Kini Wajib: Peluang Baharu Untuk Anak-Anak Kita

 



Gambar : Kredit to Bijak Seni

Pada 30 Julai 2025, satu detik bersejarah tercipta apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025. Apa yang istimewa tentang pindaan ini? Ia menyaksikan perubahan besar terhadap Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) – yang kini mewajibkan pendidikan menengah untuk semua anak-anak di Malaysia.

Apa Maksudnya?

Sebelum ini, pendidikan hanya diwajibkan sehingga Tahun 6. Kini, setiap anak Malaysia WAJIB menyambung pelajaran sehingga tamat sekolah menengah. Ini satu langkah besar ke hadapan dalam memastikan semua anak – tak kira latar belakang – mendapat peluang yang sama untuk berjaya.


Mengapa Pendidikan Menengah Diwajibkan?

Pendidikan menengah bukan sekadar tempat untuk belajar membaca, menulis dan mengira. Ia adalah asas kepada masa depan anak-anak kita. Ini antara sebab utama kenapa pendidikan menengah kini diwajibkan:

  1. Peluang sambung pelajaran atau masuk kursus kemahiran sangat terhad jika tak habis sekolah menengah.
  2. Peluang pekerjaan juga sempit – hanya layak kerja berkemahiran rendah dan gaji kecil.
  3. Ramai anak di luar bandar masih tercicir dan tidak menyambung pelajaran selepas Tahun 6.
  4. Enrolmen sekolah menengah masih rendah, belum capai tahap Enrolmen Sejagat (95% ke atas).
  5. Keciciran boleh membawa kepada masalah sosial seperti ponteng, salah laku dan jenayah juvana.
  6. Perkahwinan bawah umur masih berlaku – dan ramai pengantin muda ini tidak tamatkan sekolah.
  7. Keciciran menjejaskan keyakinan diri dan peluang masa depan anak-anak.


Apa Tanggungjawab Ibu Bapa?

Sebagai ibu bapa, kita adalah tiang utama kepada kejayaan anak. Undang-undang baharu ini bukan untuk menyusahkan, tetapi untuk melindungi masa depan anak-anak kita.

✔ Pastikan anak-anak hadir ke sekolah menengah
✔ Bantu dan beri semangat untuk mereka terus belajar
✔ Ambil tahu perkembangan pelajaran anak – walau sesibuk mana pun
✔ Laporkan kepada guru jika ada kesulitan kewangan atau masalah lain


Pendidikan = Jalan Keluar Dari Kemiskinan

Kita sedar bahawa hidup di kampung, di ladang, atau di penempatan luar bandar bukan mudah. Tapi pendidikan mampu mengubah nasib keluarga kita. Ramai anak kampung yang kini berjaya jadi guru, jurutera, doktor, usahawan – semua bermula dengan tamatkan sekolah menengah.

Jangan biarkan kemiskinan atau masalah hidup jadi penghalang. Ilmu adalah pelaburan terbaik untuk anak-anak kita.


Langkah mewajibkan sekolah menengah ini bukan sahaja satu dasar pendidikan, tetapi juga harapan baharu untuk keluarga B40 dan masyarakat luar bandar.

Marilah kita buka pintu masa depan anak-anak kita dengan memastikan mereka hadir ke sekolah, menimba ilmu, dan membina impian.

Kerana setiap anak berhak berjaya, dan semuanya bermula dengan... SEKOLAH MENENGAH.


#PendidikanMenengahWajib
#RUUPendidikan2025
#AnakB40BolehBerjaya
#PendidikanUbahHidup

Terbaru Lebih lama